syarif

syarif

Thursday, October 2, 2014

Seorang Lagi Mujahid Kecil Lahir

Ummi dijangka due untuk bayi ke-2 pada 8 Mei 2014, namun dari pemerhatian Abi berdasarkan pengalaman yang lalu (kelahiran Syarif Hidayat), mungkin lebih awal dari itu, dan Abi pun mempersiapkan diri dengan bekalan peralatan Ummi dan bayi dalam kereta. Seminggu sebelum bayi lahir, Tok Yoom telah datang ke Tanjung Malim untuk membantu kalau-kalau Ummi terpaksa keluar awal pagi, kesian Syarif tinggal di rumah seorang.

Namun, perkara yang dijangka memang berlaku, pada malam 6 Mei 2014, Ummi makin kerap sakit namun masih mampu bertahan, Abi mengajak Ummi untuk terus gerak ke Hospital Slim River, namun Ummi rasa masih biasa-biasa saja.

Malam itu memang Abi tidak lena tidur, perasaan bercampur baur, namun Abi terus beristighfar sampai pada jam 3pagi, 7 Mei 2014, Ummi mengajak Abi ke hospital. Abi terus memberitahu Tok Yoom yang Abi dan Ummi nak ke hospital. Syarif sudah lama tidur dan tidak pun tahu Ummi dan Abi keluar ke hospital.

Sampai sahaja hospital, Ummi terus ditolak naik ke tingkat 1, masuk ke Bilik Rawatan untuk diperiksa dan terus dibawa ke Bilik Bersalin kerana memang ketika itu bila-bila masa sahaja boleh bersalin. Abi yang ke bawah untuk mengalih kereta dan ambil beg pakaian dan bakul tidak langsung dimaklumkan yang Ummi telah masuk ke Bilik Bersalin. Apabila Abi naik ke atas bersama barang-barang, Abi terus menunggu di ruangan menunggu. Abi tunggu dan terus tunggu, namun Alhamdulillah, seperti juga semasa Syarif lahir, Abi juga sempat membaca Surah Mariam dalam tempoh menunggu.

Jam di dinding hospital telah hampir jam 5.30pagi, Abi masih tertanya-tanya dalam hati, apa keadaan Ummi dalam Bilik Bersalin. Dan dalam tempoh tersebut, ada seorang lelaki sedang menghantar isterinya untuk bersalin juga pada awal pagi itu. Lepas proses pendaftaran, Abi sempat bertanyakan jururawat mengenai keadaan Ummi, namun jawapan dari jururawat Ummi masih dalam Bilik Bersalin dan bila tiba masanya nanti jururawat akan memanggil Abi.

Sedang menanti-nanti panggilan jururawat, Abi disapa oleh lelaki yang menghantar isterinya tadi, dia berkata pada Abi, “macam pernah nampaklah kamu ni? Duduk Taman Bernam kan?”. Abi pun menjawab, “Ya, Taman Bernam, tapi pernah nampak dimana?”. Dia membalas “di Surau Al-Ikhwan Taman Bernam”. Abi balas “Ye ker, kamu tinggal situ ker”. Perbualan terus rancak, dia memperkenalkan diri sebagai Arshad dan memberitahu Abi yang dia anak kepada Cikgu Hanipah, S/U Surau Al-Ikhwan. Abi terus teringatkan Akhi Aizuddin, menantu Cikgu Hanipah yang bersama Abi dalam usrah sepanjang cuti isterinya bersalin. Tapi pada waktu tersebut Akhi Aizuddin dah balik ke China untuk viva PhDnya. Abi terus sms pada Akhi Aizuddin, dan dia terus balas sms Abi memaklumkan pertemuan dengan abang iparnya itu.

Sedang menanti kelahiran, jururawat datang dan meminta pakaian bayi dari Arshad. Hati Abi mula rasa tak tenang sebab isteri Arshad baru saja masuk, jururawat dah minta baju bayi, Ummi dah lama masuk belum lagi minta baju. Hampir 6 pagi, baru jururawat datang bertemu Abi mohon pakaian bayi diserahkan. Abi terus bagi beg pada jururawat. Namun, bila di tanya, masih belum bersalin, Abi sangat risau, tapi Abi buat biasa saja.

6 pagi, Arshad turun bawah ambil barang, Abi terus ke surau untuk solat Subuh. Lepas solat, Abi pergi  balik ke ruang menunggu , namun jururawat masih tak panggil Abi. Arshad patah balik ke ruang menunggu dan jururawat terus memanggil dia untuk tengok bayi.

Hati Abi mula tak tentu arah, mana Ummi dan bayi ni....

Hampir 7.00pagi, baru jururawat panggil Abi untuk tengok bayi, jururawat cakap bayi dah lahir 6pagi tadi tapi sengaja tak panggil Abi takut Abi pitam bila masuk Bilik Bersalin. Yang menyebabkan lambat Abi tengok bayi pagi itu adalah kerana ramai ibu-ibu yang masuk ke Bilik Bersalin.
Selepas datang tengok bayi, Abi cium, Abi iqamah dan azan, Abi diarah keluar balik oleh jururawat bagi mereka mempersiapkan bayi untuk dimasukkan ke wad.


Barulah perasaan Abi lega dan syukur. Abi terus ajak Arshad sarapan di Cafe Hospital. Kami terus bersembang macam dah lama kenal. Kebetulan anak lelaki kami lahir pada hari yang sama dan waktu yang hampir sama. 

bersambung...

No comments:

Post a Comment