syarif

syarif

Thursday, October 2, 2014

Seorang Lagi Mujahid Kecil Lahir

Ummi dijangka due untuk bayi ke-2 pada 8 Mei 2014, namun dari pemerhatian Abi berdasarkan pengalaman yang lalu (kelahiran Syarif Hidayat), mungkin lebih awal dari itu, dan Abi pun mempersiapkan diri dengan bekalan peralatan Ummi dan bayi dalam kereta. Seminggu sebelum bayi lahir, Tok Yoom telah datang ke Tanjung Malim untuk membantu kalau-kalau Ummi terpaksa keluar awal pagi, kesian Syarif tinggal di rumah seorang.

Namun, perkara yang dijangka memang berlaku, pada malam 6 Mei 2014, Ummi makin kerap sakit namun masih mampu bertahan, Abi mengajak Ummi untuk terus gerak ke Hospital Slim River, namun Ummi rasa masih biasa-biasa saja.

Malam itu memang Abi tidak lena tidur, perasaan bercampur baur, namun Abi terus beristighfar sampai pada jam 3pagi, 7 Mei 2014, Ummi mengajak Abi ke hospital. Abi terus memberitahu Tok Yoom yang Abi dan Ummi nak ke hospital. Syarif sudah lama tidur dan tidak pun tahu Ummi dan Abi keluar ke hospital.

Sampai sahaja hospital, Ummi terus ditolak naik ke tingkat 1, masuk ke Bilik Rawatan untuk diperiksa dan terus dibawa ke Bilik Bersalin kerana memang ketika itu bila-bila masa sahaja boleh bersalin. Abi yang ke bawah untuk mengalih kereta dan ambil beg pakaian dan bakul tidak langsung dimaklumkan yang Ummi telah masuk ke Bilik Bersalin. Apabila Abi naik ke atas bersama barang-barang, Abi terus menunggu di ruangan menunggu. Abi tunggu dan terus tunggu, namun Alhamdulillah, seperti juga semasa Syarif lahir, Abi juga sempat membaca Surah Mariam dalam tempoh menunggu.

Jam di dinding hospital telah hampir jam 5.30pagi, Abi masih tertanya-tanya dalam hati, apa keadaan Ummi dalam Bilik Bersalin. Dan dalam tempoh tersebut, ada seorang lelaki sedang menghantar isterinya untuk bersalin juga pada awal pagi itu. Lepas proses pendaftaran, Abi sempat bertanyakan jururawat mengenai keadaan Ummi, namun jawapan dari jururawat Ummi masih dalam Bilik Bersalin dan bila tiba masanya nanti jururawat akan memanggil Abi.

Sedang menanti-nanti panggilan jururawat, Abi disapa oleh lelaki yang menghantar isterinya tadi, dia berkata pada Abi, “macam pernah nampaklah kamu ni? Duduk Taman Bernam kan?”. Abi pun menjawab, “Ya, Taman Bernam, tapi pernah nampak dimana?”. Dia membalas “di Surau Al-Ikhwan Taman Bernam”. Abi balas “Ye ker, kamu tinggal situ ker”. Perbualan terus rancak, dia memperkenalkan diri sebagai Arshad dan memberitahu Abi yang dia anak kepada Cikgu Hanipah, S/U Surau Al-Ikhwan. Abi terus teringatkan Akhi Aizuddin, menantu Cikgu Hanipah yang bersama Abi dalam usrah sepanjang cuti isterinya bersalin. Tapi pada waktu tersebut Akhi Aizuddin dah balik ke China untuk viva PhDnya. Abi terus sms pada Akhi Aizuddin, dan dia terus balas sms Abi memaklumkan pertemuan dengan abang iparnya itu.

Sedang menanti kelahiran, jururawat datang dan meminta pakaian bayi dari Arshad. Hati Abi mula rasa tak tenang sebab isteri Arshad baru saja masuk, jururawat dah minta baju bayi, Ummi dah lama masuk belum lagi minta baju. Hampir 6 pagi, baru jururawat datang bertemu Abi mohon pakaian bayi diserahkan. Abi terus bagi beg pada jururawat. Namun, bila di tanya, masih belum bersalin, Abi sangat risau, tapi Abi buat biasa saja.

6 pagi, Arshad turun bawah ambil barang, Abi terus ke surau untuk solat Subuh. Lepas solat, Abi pergi  balik ke ruang menunggu , namun jururawat masih tak panggil Abi. Arshad patah balik ke ruang menunggu dan jururawat terus memanggil dia untuk tengok bayi.

Hati Abi mula tak tentu arah, mana Ummi dan bayi ni....

Hampir 7.00pagi, baru jururawat panggil Abi untuk tengok bayi, jururawat cakap bayi dah lahir 6pagi tadi tapi sengaja tak panggil Abi takut Abi pitam bila masuk Bilik Bersalin. Yang menyebabkan lambat Abi tengok bayi pagi itu adalah kerana ramai ibu-ibu yang masuk ke Bilik Bersalin.
Selepas datang tengok bayi, Abi cium, Abi iqamah dan azan, Abi diarah keluar balik oleh jururawat bagi mereka mempersiapkan bayi untuk dimasukkan ke wad.


Barulah perasaan Abi lega dan syukur. Abi terus ajak Arshad sarapan di Cafe Hospital. Kami terus bersembang macam dah lama kenal. Kebetulan anak lelaki kami lahir pada hari yang sama dan waktu yang hampir sama. 

bersambung...

Monday, December 23, 2013

Arwah Tok Wan Saat


Adakah mungkin patah tumbuh hilang berganti, itulah kata-kata yang Abi sempat sembang dengan Mak Ngah Rodiah mengenai keadaan tok wan sebelum Syarif lahir ketika Abi telefon Mak Ngah. Nah, benar rupanya kata-kata Abi.

Apabila melihat gambar ini, Abi terkenang arwah Tok Wan Saat, dia amat teruja bila mendengar Syarif Hidayat lahir, cucu lelaki yang menjadi pewarisnya selain abg Zaim Hakimi. Gambar ini Abi ambil ketika Syarif baru 3 hari lahir ke dunia ini. Dalam keadaan tok wan yang dah susut badannya, tok wan teringin dukung Syarif, digagahinya jugak. Itulah kali pertama dan terakhir sentuhan kulit ke kulit antara tok wan dengan cucu lelakinya.

Teringat hari arwah meninggal pada 1 May 2012, pada masa itu usia Syarif Hidayat baru 1 bulan 20 hari. Setelah arwah tok wan dikapankan, Abi ambil Syarif dari Ummi untuk beri ciuman Syarif yang terakhir ke pipi tok wan. Alangkah sedihnya Abi masa itu, tok wan tak sempat lama bersama Syarif.

Syarif Hidayat,
Besar harapan arwah tok wan untuk melihat Syarif Hidayat membesar menjadi seorang Soleh Wa Musleh, menjadi seorang Daie' yang hebat dan Murobbi yang sentiasa patuh kepada ajaranNya berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

Moga harapan tok wan menjadi kenyataan nak. Abi, insyaAllah akan cuba berusaha membentuk peribadi Syarif supaya dapat lahir kembali jiwa-jiwa seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dan Sallahudin Al-Ayubi yang menyerahkan diri mereka kepada Allah semata-mata.



Monday, April 2, 2012

Majlis Cukur Jambul - Muhammad Syarif Hidayat...

Petang Jumaat, 30 Mac 2012


Abi sampai ke rumah Atok hari Jumaat, 30 mac 2012 pada jam 4.15petang. Abi bertolak awal balik ke kampung kerana, Ummi meminta untuk membeli barangan kenduri pada petang Jumaat bersama Atok untuk persiapan kenduri pada tengahari Sabtu, 31 Mac 2012. Pada pagi Jumaat tersebut, Abi berada di Tapak Perkhemahan Kokurikulum, di Kuala Kubu Bharu untuk meninjau kawasan perkhemahan untuk Briged Bomba 1, UPSI. Abi sampai di UPSI pada jam 12.45tengahari.



Abi terus naik ke ofis, dan turun semula untuk balik ke rumah mengemas barang-barang. Perut telah berkeroncong, disebabkan mahu kejar masa balik, Abi biarkan dahulu perut berbunyi, kerana waktu solat Jumaat hampir tiba. Abi terus bersolat Jumaat di Masjid Behrang 2020.


Selepas solat Jumaat, Abi pergi ke stesen minyak Petronas Behrang untuk ambil duit di ATM, "topup" minyak dan membeli "twiggies" untuk dimakan ketika dalam perjalan balik ke kampung. Sampai ke kampung, Abi mendapat khabar plan kenduri telah ditukar ke tengahari Ahad, 1 April 2012.

Pada mulanya, Abi akan bersama Atok akan ke Pasar Bagan Serai untuk membeli kelengkapan "aruh" di romah Atok. Namun apakan daya Atok "garing". Kesian Atok. Atok meminta Abi untuk pergi bersama Mak Uda dan Mak Long. Abi merancang mahu ke pasar dengan kereta sendiri, tapi tayar kereta dah pancit. Abi terpaksa pergi ke pasar menggunakan kereta Atok.

Abi bersama Mak Uda dan Mak Long bergerak ke Pasar Bagan Serai lebih kurang 10.00pagi. Abi tak tahu apa yang telah dibincangkan antara Ummi, Mak Long dan Nenek tempoh hari, berkaitan menu kenduri, Abi tidak turut serta, kerana masih di Tanjung Malim ketika itu.

Abi ikut sahaja apa yang Ummi mahukan, Mak Long membeli ayam 12ekor, daging 9kilo, dan bahan-bahan masakan yang lain.......

Sampai di rumah nenek, nenek memaklumkan pada Abi, ada orang "seruan aruh" di hujung Kg. Parit 2, Abi pun pergi ke sana mewakili Atok yang sedang "garing". Abg Hatim pun turut serta ke kenduri. Lepas makan, Abi dan Abg Hatim pergi ke kedai untuk membeli "Tropical Cordial Juice" untuk kenduri esok. Abg Hatim minta Abi belikan buih sabun.

Balik dari Kedai Runcit Simpang 4, Abi terus ke rumah Tok Wan Saat dan Tok Yoom. Tok Yoom tanya Abi, bila kenduri cukur jambul Syarif?. Abi cakap esok tengahari. Tok Yoom ternanti-nanti dari semalam, Tok Yoom berasa macam Abi melupainya kerana tak langsung menjemput kenduri. Tok Yoom tak tahu plan kenduri dah diubah. Abi cakap pada Tok Yoom, tak kan Abi tak panggil@jemput, Tok Yoom kan tok Syarif juga. Lepas itu, Abi terus balik ke rumah nenek.

Abi sampai rumah nenek, Abi nampak kelibat Pak Njang di belakang rumah, sedang bersembang dengan nenek. Pak Njang memaklumkan pada Abi, Pak Njang ingatkan kenduri hari Sabtu tengahari. Ada kenduri hari itu, Pak Njang pergi tak makan sebab nak datang rumah nenek makan tengahari bersama keluarga. Tapi bila Pak Njang sampai, tak ada kenduri, makan tengahari pun belum siap. Mak Njang terus bergegas kr dapur, memasak, kerana kelaparan.

Abi naik ke atas rumah, dan solat Zohor. Abi turun dan masuk ke bilik Syarif untuk tidur bersama Syarif.


Petang Sabtu, Selepas Solat Asar

Nenek sedang bersiap untuk menggoreng ayam. Pak Njang dan keluarganya telah balik ke rumah mereka kerana esok ada kelas. Nenek memberitahu Abi, Atok "garing" dan nenek minta Abi tolong jemput seluruh jiran tetangga Kg. Parit 2. Abi yang bersedia untuk membantu nenek menggoreng terus bersiap untuk ke rumah-rumah jiran. Abi dahulukan rumah Angah Inas, kerana nak berbincang mengenai "MARHABAN" untuk Syarif. Sehinggalah Abi pergi dari satu rumah ke satu rumah yang lain sampai selesai. Rumah terakhir Abi pergi adalah rumah Tok Wan Saat dan Tok Lang Non. Kebetulan ada Mak Ngah Rodiah di sana. Abi dah tak perlu ke rumahnya.


Pagi Ahad, 1 April 2012

Kesian Atuk, masih lagi garing...Abi sibuk dengan urusan kenduri, sampailah waktu jiran2x bertandang. Abi terus mengajak naik ke rumah Atuk. Abi masih berpakaian biasa ketika itu, lalu setelah jemputan naik ke atas rumah, Abi masuk ke bilik bersiap memakai baju Melayu.

Alhamdulillah perjalanan kenduri lancar walau ada sedikit kalut. Kemampuan Abi terbatas, Atuk garing, tapi Abi bersyukur ada ramai yang membantu....Pak Long Asmi, Mak Long Ain, Mak Uda....., Izhar, Along, Azizi, dan ramai lagi....tak lupa juga Hatim...hehe...

Lepas kenduri, Abi terus rebah kepenatan menanti waktu petang untuk pulang ke Tanjung Malim....

Terima Kasih semua yang membantu......

Monday, March 19, 2012

Ummi dan Syarif discharge....

11/3/2012

Genap setahun Abi dan Ummi bernikah, dan alhamdulillah tahun ini Abi dan Ummi menyambutnya dengan penuh kesyukuran menerima titipan kasih sayang dan amanah daripada Allah dengan penuh harapan.

Abi bertolak dari rumah di Taman Bernam setelah selesai mengemas rumah dari anjung hingga ke dapur untuk menerima kepulangan orang baru ke rumah. Abi buang semua sampah, sawang dan membersihkan segala kotoran yang berada di cadar dan lantai supaya Syarif Hidayat tidak alah pada habuk.

9.30pagi, Abi menerima call dari Mak Tam yang pada masa itu berada di kampung halaman. Beliau menyatakan hasrat untuk datang ke Tanjung Malim bersama Tok Yoom untuk melihat anak buah barunya.

...Abi tahu Tok Yoom benar-benar ingin datang ke sini dari tarikh sebelum Ummi bersalin, namun apakan daya, Tok Yoom juga terikat pada waktu bersama Tok Wan Saat yang sedang sakit....Dalam perbualan ketika Ummi sudah masuk ke Wad Bersalin tempoh hari...Tok Yoom berulang kali mohon pada Abi supaya banyakkan sabar....Ummi dan Abi mengharungi detik2x bersalin berdua....Tanpa ada saudara mara di samping....Namun Abi amat bersyukur...Allah bersama kami...Dia tahu upaya kami....Alhamdulillah....

11.45pagi, Abi selesai segala tugasan di rumah, Abi terus bersiap dan keluar ke "Wash Car" untuk mencuci kereta dan habuk2x kereta.

12.30tgh, Abi ditelefon oleh Mak Tam bertanyakan mengenai Syarif....Samada sudah keluar ataupun belum...Abi minta Mak Tam terus ke Hospital Slim River kerana Syarif dan Ummi masih di sana.

1.30ptg, Abi sampai di Hospital Slim River, dan menemui Tok Yoom, Mak Tam, Syahirah, Akilah, Amirul, dan Pak Tam.

2.30ptg, urusan keluar wad selesai. Abi dan Ummi bergerak pulang ke Taman Bernam diiringi kereta Pak Tam. Tok Yoom bersama satu kereta dengan Abi dan Ummi sambil memegang cucunda.

5.00ptg, Pak Tam dan Mak Tam meminta untuk pulang dari rumah Abi dan Ummi selepas hujan lebat beransur renyai.


Sunday, March 18, 2012

Detik Kelahiran Syarif Hidayat 2

10/3/2012

Pada jam 3.00pagi, Abi menerima SMS dari Ummi berkaitan dengan bukaan pintunya...tapi masih kecil 3cm....Namun SMS yang diterima tidak disedari Abi yang telah hanyut dibuai mimpi kerana keletihan...

Namun pada jam 4.30pagi, Ummi yang sedang berada dalam Wad Bersalin terus menelefon Abi yang menyatakan bahawa Ummi akan dibawa masuk ke Bilik Bersalin sela masa beberapa minit lagi walaupun bukan pintu baru 4cm....Abi terus bergegas ke Hospital Slim River dan terus menuju ke Bilik Bersalin, namun Abi tidak temui Ummi.....Dalam hampir 30minit, alhamdulillah Abi sempat menghabiskan bacaan Surah Maryam dan berzikir selama menanti jururawat datang ke kaunter Bilik Bersalin.

Setelah jururawat lewat di situ, Abi terus bertanyakan khabar mengenai Ummi di dalam Bilik Bersalin dan jururawat bertugas telah memberitahu Abi mengenai kondisi Ummi dan ada kemungkinan akan bersalin awal pagi ini. Alhamdulillah, Abi amat bersyukur, lega sekejap gundah gulana di hati ini. Jururawat juga memberitahu Abi, Abi boleh bersama menemani Ummi dalam Bilik Bersalin semasa proses kelahiran berlangsung.....

Abi terus menunggu Ummi di kaunter Bilik Bersalin sehingga dipanggil oleh jururawat untuk masuk ke Bilik Bersalin pada jam 6.oopagi.

Perasaan cemas bercampur baur ketika Abi melangkah ke dalam Bilik Bersalin. Setelah melangkah ke dalam bilik tersebut Abi amat terkejut dan risau melihat para jururawat melakukan operasi terhadap Ummi. Dalam hati Abi..."beginikah caranya seorang ibu hendak bersalinkan anak"....Ya Allah, timbul perasaan insaf pada diri Abi mengenangkan perlakuan2x Abi terdahulu pada emak di kampung. Ya Allah, permudahkan Ummi....

Abi diminta jururawat memeri sokongan pada belakang badan Ummi ketika proses tersebut...tidak lama setelah itu, Abi ditunjukkan oleh jururawat kepala Syarif di dalam kedudukan tersembam dalam pintu Ummi....Abi mula terketar, badan Abi mula lemah, Abi terus pitam dan bersegera berjalan ke kerusi untuk duduk.

2 kali Abi mahu panggung kepala melihat Ummi, namun Abi pening. Tiba-tiba, dalam keadaan pucat Abi terus gagahi pergi mendekati Ummi untuk memberi semangat pada Ummi dan jururawat memberitahu, Ummi perlu scissor untuk lebih luas bukaan. Pada awalnya Ummi tak bersedia untuk itu, namun setelah mendapat nasihat jururawat, Ummi bersetuju.

Namun Abi pitam terus....Abi terus kembali ke kerusi dan meletakkan kepala pada meja dalam bilik bersalin. Secara tidak sedar, Muhammad Syarif Hidayat dilahirkan dengan selamat pada jam 6.30pai. Abi gagahi bangun untuk melihat Syarif, selepas itu jururawat meminta Abi solat Subuh terlebih dahulu sementara menanti Syarif di bersihkan.

Setelah selesai solat Subuh dan sujud Syukur....Abi terus kembali ke Bilik Bersalin menanti panggilan jururawat untuk mengazankan Syarif. Dalam tempoh menanti, Abi terus menelefon mak ayah saudara ikhwah mengenai kelahiran orang baru dalam hidup Saniah dan Arif.

TERIMA KASIH TIDAK TERHINGGA KEPADA SEMUA KAKITANGAN WAD BERSALIN DAN WAD BERSALIN HOSPITAL SLIM RIVER KERANA MEMBERI PERKHIDMATAN YANG CEMERLANG....MOGA ALLAH MEMBALAS SEGALA USAHA DAN KEIKHLASAN KALIAN....

Friday, March 16, 2012

Detik Kelahiran Syarif Hidayat

Tarikh keramat kelahiran Muhammad Syarif Hidayat bin Muhammad Arif. Detik dan ketika yang ditunggu-tunggu oleh Abi dan Ummi. Alhamdulillah, perancangan Allah

11.00malam 9/3/2012,
Abi semasa itu berada di Masjid Proton City, sedang mendengar ceramah PM. Dr. Hafidzi, Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, telah menerima call dari Ummi yang menyatakan kesakitan yang ditanggungnya termasuk tanda yang telah ada. Abi dengan sesegera mungkin terus meluncur laju kereta untuk balik ke rumah di Taman Bernam setelah memaklumkan kepada beberapa orang ikhwah yang sempat Abi bercakap.

Sampai di rumah, Ummi sedang bersiap untuk bergegas ke Hospital Slim River. Abi sempat mencuci darah-darah yang berada di atas lantai bilik tidur. Beberapa minit kemudian, Abi dan Ummi terus bergerak ke Hospital Slim dan terus ke Wad Bersalin.

Abi dimaklumkan oleh jururawat, Ummi ditahan di wad dan Abi diarah menguruskan kemasukan Ummi ke Wad 3. Setelah selesai urusan di Unit Kecemasan, Abi terus kembali ke atas dan Abi mendapati Ummi telah tiada di Kaunter Bilik Bersalin. Abi mula risau, dan Abi serahkan segalanya kepada Allah. Bila ada jururawat lewat Abi, Abi terus menyapa dan Abi dimaklumkan Ummi berada dalam Bilik Rawatan untuk diperiksa kondisi jantung bayi. Abi tunggu dan terus tunggu....Walaupun abi sedang lapar...tak sempat makan petang tadi...

Hampir satu jam Ummi di dalam Bilik Rawatan, setelah itu, Abi dimaklumkan, bukaan pintu baru 2cm, mengikut perkiraan jururawat, dalam jam 10.00pagi 10/3/2012 baru Ummi boleh bersalin....Namun Ummi tetap berdoa supaya bayi dapat lahir lebih awal dari tarikh jangkaan...
Abi dinasihatkan untuk balik ke rumah dahulu, atas sebab Wad Bersalin tidak boleh ada pengiring. Namun, setelah berbincang dengan Ummi, Abi balik ke rumah hanya untuk offkan peralatan elektrik yang terlupa dipadam. Namun, disebabkan sangat lapar, Abi singgah di kedai makan berhampiran Taman Bernam. Selepas itu, Abi ke kedai membeli roti dan vico untuk Ummi. Abi terus kembali ke Wad Bersalin menghantar makanan dipesan.

Abi keluar kembali dari Wad dan terus menuju ke Masjid Slim River. Namun, masjid berkunci, Abi decide untuk tidur dalam kereta sahaja.